Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, yang cedera parah akibat bermain mercun bola pada Khamis lalu selamat menjalani pembedahan membaiki otot lehernya yang berlubang di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kelmarin.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, pembedahan yang melibatkan empat pakar perubatan telinga, hidung dan tekak, pembedahan am serta plastik itu memakan masa kira-kira lima jam.
“Pembedahan yang berakhir pada pukul 2 petang itu bertujuan untuk memulihkan kembali kerosakan pada otot leher mangsa yang berlubang.
“Biarpun masih lemah, keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Mohamad berkata, Mohd. Haiqal Firdaus perlu menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi merawat bahagian dadannya yang melecur teruk akibat insiden berkenaan tidak lama lagi.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Noriah Awang (gambar), 41, berkata, Mohd. Haiqal Firdaus sudah mula sedarkan diri beberapa jam selepas keluar dari bilik pembedahan dan keadaannya kini beransur pulih.
Kosmo! semalam melaporkan remaja yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu itu mengalami kecederaan parah pada leher, dada dan lengan selepas mercun bola yang dinyalakan meletup sebelum sempat dilempar di Kampung Tok Kah, Dungun.
No comments:
Post a Comment