Translate

Tuesday, June 14, 2016

Program khas Maidam cari ulama muda

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Mai­dam) memperkenalkan program Memperkasa Institusi Ulama bertujuan menjejaki golongan muda yang berpotensi untuk dipupuk bagi mengisi beberapa jawatan penting bidang keagamaan di negeri itu pada masa depan.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, menerusi program tersebut, kumpulan pelajar terpilih yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bakal menerima penajaan pengajian mereka sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Kumpulan perintis seramai tujuh pelajar akan memulakan pengajian dalam bidang keagamaan di peringkat ijazah sarjana muda di universiti terpilih di Jordan mulai bulan September depan.

“Mereka yang berjaya mengekalkan kecemerlangan akan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana pula di institusi pengajian tinggi tempatan sebelum dihantar ke negara Barat pula bagi peringkat PhD,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Shaikh Harun berkata, prestasi akademik dan sahsiah kesemua pelajar itu akan dipantau dan hanya mereka yang dapat mengekalkan kecemerlangan sahaja akan diserap untuk berkhidmat di jabatan agama Islam negeri setelah menamatkan pengajian masing-masing.

Menurut beliau, bakat mereka akan terus digilap dan bakal diberi keutamaan untuk disenarai pendek sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan penting dalam bidang keagamaan negeri seperti mufti, imam besar dan pegawai kanan Maidam.

“Selain itu, program ini juga berfungsi serampang dua mata bagi melahirkan lebih ramai ulama hebat dan serba boleh yang mampu menyumbang kepada negeri pada masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment