KUALA TERENGGANU –Peniaga bazar Ramadan di Terengganu yang didapati gagal mengutamakan amalan kebersihan dan keselamatan makanan bakal dikenakan tindakan disenarai hitam.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang tidak mematuhi etika dan peraturan sehingga memudaratkan kesihatan orang ramai.
“Aspek kebersihan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan perlu dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan pembeli.
“Kita tidak akan bertolak-ansur dengan peniaga yang menjual makanan basi atau masalah lain yang memudaratkan pembeli. Mereka yang didapati bersalah akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan lagi berniaga di kawasan lain walaupun di luar bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini semalam.
Ahmad Razif berkata, seramai 26 pasukan yang dianggotai 288 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan telah dikerahkan untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap 6,774 peniaga makanan di bazar Ramadan di seluruh Terengganu sepanjang bulan puasa ini.
Menurut beliau, pemeriksaan juga dijalankan terhadap 56 pembekal bahan mentah meliputi pembekal ayam, daging, ikan, bahan runcit, ais dan kuih-muih tempatan.
“Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati 17 premis berada pada tahap Gred A (Sangat Baik) manakala selebihnya mendapat Gred B (Baik),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk memperbanyakkan lagi premis makanan Gred A di seluruh negeri ini.
No comments:
Post a Comment