Translate

Thursday, June 16, 2016

Ramadan bererti bagi ibu tunggal lima anak

BESUT – Ramadan tahun ini lebih bermakna bagi seorang ibu tunggal dan lima anaknya apabila menerima sebuah rumah baharu menerusi program Rumah Komuniti sumbangan Pejabat Parlimen Besut di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut di sini baru-baru ini.

Nor Mahani Mohamad, 43, berkata, penerimaan rumah secara percuma itu dianggap­nya sebagai rezeki sempena Ramadan.

Menurutnya, rumah tiga bilik dengan satu bilik air berkeluasan kira-kira 80 meter persegi itu cukup selesa.

“Sebelum ini, saya dan lima anak yang berusia lapan hingga 17 tahun menyewa rumah de­ngan kadar RM150 sebulan.

“Saya tidak pernah menduga untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika menerima kunci rumah tersebut daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh di sini baru-baru ini.

Nor Mahani yang menyara keluarga dengan berniaga mi rebus turut menerima bantuan sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Idris yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, program Rumah Komuniti bertujuan untuk membina rumah secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan yang masih tidak memiliki rumah sendiri di kawasan Parlimen Besut.

Beliau berkata, rumah tersebut disiapkan dalam tempoh sebulan dengan kos RM20,000.

No comments:

Post a Comment