Translate

Saturday, June 18, 2016

Leher berlubang main mercun bola

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Seorang remaja berusia 14 tahun cedera parah pada leher, dada dan lengan selepas mercun bola yang dinyalakan meletup sebelum sempat dilempar di Kampung Tok Kah di sini kelmarin.
Sewaktu kejadian pada pukul 9 malam itu, Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, sedang bermain mercun terbabit kira-kira 200 meter dari rumah datuknya.
Ibu saudaranya, Noriah Awang, 41, berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Kampung Padang Pulut di sini telah berbuka puasa di rumah datuknya itu.
“Tiba-tiba kami mendengar bunyi letupan kuat tidak jauh dari rumah ibu bapa saya diikuti dengan bunyi erangan kesakitan dari seorang budak.
“Sebaik sahaja meluru keluar ke lokasi kejadian, alangkah terkejut saya apabila mendapati anak saudaranya (Mohd. Haiqal) berlumuran darah dengan lehernya berlubang dan sebahagian dadanya melecur teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Noriah berkata, sewaktu ditemui anak saudara itu mengadu kesakitan sambil memegang lehernya dalam keadaan sedar.
Menurutnya, Mohd. Haiqal yang merupakan anak sulung daripada enam beradik tersebut kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, remaja itu kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menjalani pembedahan leher beberapa jam kemudian.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, selain kecederaan parah pada leher, Mohd. Haiqal turut melecur teruk pada dada dan kedua-dua lengan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan remaja yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu itu perlu menjalani pembedahan plastik bagi merawat kecederaan yang menimpanya.
“Keadaannya kini dilaporkan stabil dan ini kes mangsa letupan mercun pertama yang dilaporkan di Terengganu sepanjang bulan Ramadan ini," katannya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub yang dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment