Translate

Tuesday, June 21, 2016

Pegawai jabatan agama ditahan

KUALA TERENGGANU – Tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi semalam.
Sumber SPRM memberitahu, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam sindiket menguruskan pernikahan individu yang hendak berpoligami tanpa prosedur sah.
Di negeri ini, seorang suami yang mahu berpoligami perlu mendapat kebenaran isteri pertama selain melalui proses di mahkamah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pernikahan tersebut berlangsung di negara jiran, Thailand manakala surat pengesahan penikahan dan kad akuan nikah yang tidak sah akan dise­rahkan kepada mereka di negeri ini oleh sindiket berkenaan selepas segala urusan selesai.“Setiap pasangan perlu membayar sebanyak RM3,500 kepada sindiket terbabit meliputi perkhidmatan urusan pernikahan di negara jiran dan pengelua­ran dokumen pernikahan tidak sah tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber SPRM tersebut berkata, suspek pertama yang merupakan seorang pegawai JHEAT berusia 43 tahun ditahan ketika sedang menerima bayaran akhir berjumlah RM1,000 daripada satu pasangan yang menggunakan khidmat sindiket tersebut.

Menurut beliau, lelaki itu ditahan anggota penguat kuasa SPRM sewaktu hendak menye­rahkan dokumen pernikahan tidak sah itu di sebuah medan selera di bandar raya ini pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

“Suspek kedua pula berusia 30 tahun dan suspek ketiga berusia 34 tahun yang merupakan kakitangan kerajaan masing-masing diberkas di sekitar bandar raya ini pada pukul 5.30 petang dan 11.30 malam semalam (kelmarin).

“Wang tunai sebanyak RM2,600 turut dirampas daripada kedua-kedua suspek ber­kenaan dalam serbuan tersebut,” katanya.

Sumber itu berkata, kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Pe­risikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Omar Musa yang dihubungi enggan mengulas berhubung penahanan tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai jabatannya.

“Masih terlalu awal untuk saya ulas, biar SPRM menyiasat,” katanya.


No comments:

Post a Comment