KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak mematikan enjin kenderaan sewaktu singgah ke kedai runcit, seorang suri rumah berputih mata selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova miliknya dilarikan penjenayah di Kampung Apek, Permaisuri, Setiu dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, wanita berusia 59 tahun tersebut tergamam apabila mendapati kenderaan miliknya yang diletakkan di hadapan kedai runcit tiba-tiba hilang tanpa disedari.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang memandu kenderaan itu seorang diri singgah ke kedai runcit berkenaan untuk membeli rokok suaminya.
"Wang tunai berjumlah RM4,500 yang disimpan di papan pemuka kenderaan tersebut turut dilarikan penjenayah.
"Selain itu, barangan lain yang juga hilang ialah kad pengenalan miliknya dan seorang cucu, lesen memandu, sebuah buku bank, buku cek dan surat gadaian barangan kemas," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment