Translate

Thursday, June 23, 2016

Kera cakar bayi dilepas ke Taman Negara Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kera yang mencakar pipi seorang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Dungun Jumaat lalu akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu, Tanjung Mentong, Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ne­geri, Mohd. Hasdi Husin berkata, pegawai agensi itu telah mengambil haiwan berkenaan dari jagaan pemiliknya, Syed Mohd. Hishamuddin Syed Mohd. Yassin, 36, pada pukul 12.45 te­ngah hari semalam.

“Pegawai Perhilitan telah pergi ke rumah pengadu (Syed Mohd. Hishamuddin) di Kampung Sungai Buaya, Dungun untuk menangkap kera terbabit selepas menerima aduan tentang serangan haiwan tersebut terhadap anaknya.

“Kita bercadang untuk melepaskan kera berkenaan ke dalam hutan di Taman Negara Terengganu dalam masa terdekat,” kata beliau kepada Kos­mo! di sini semalam.

Isnin lalu Kosmo! melaporkan anak Syed Mohd. Hishamuddin, Khaliffah Nurul Damia Qhalifa luka di pipi kirinya selepas dicakar oleh kera yang ditambat di sebatang tiang di luar rumahnya.

Sewaktu kejadian, bayi pe­rempuan itu didukung ibunya, Norhayati Mohd. Dahan, 36, yang sedang mengambil selipar di belakang rumah.

Berikutan kejadian itu, Kha­liffah telah dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi menjahit koyakan pada pipi kirinya.

No comments:

Post a Comment