KUALA TERENGGANU – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera selepas pipinya dicakar seekor kera yang dibela ayahnya di rumah mereka di Kampung Sungai Buaya, Dungun Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, pipi kiri Khaliffah Nurul Damia Qhalifa Syed Mohd. Hishamuddin luka akibat cakaran kera terbabit.
Bapanya, Syed Mohd. Hishamuddin Syed Mohd. Yassin, 36, berkata, sewaktu kejadian, anaknya itu sedang didukung oleh isterinya, Norhayati Mohd. Dahan, 36, untuk mengambil selipar di belakang rumah.
“Sewaktu hendak mengambil selipar itu, tiba-tiba kera yang ditambat di sebatang tiang di luar rumah melompat lalu menarik rambut anak saya.
“Anak saya meronta-ronta sebelum pipi kirinya dicakar oleh kera terbabit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Syed Mohd. Hishamuddin berkata, panik dengan perbuatan kera tersebut, isterinya kemudiannya bertindak menghempas kera itu di tanah sebelum menjerit meminta pertolongannya.
Menurutnya, dia yang berada di dalam rumah meluru keluar sebelum bergegas membawa Khaliffah Nurul Damia Qhalifa ke Hospital Dungun dekat sini untuk mendapatkan rawatan.
“Anak saya kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Syed Mohd. Hishamuddin memberitahu, kera terbabit dipelihara sejak tiga tahun lalu dan selama ini, haiwan itu tidak pernah berkelakuan ganas.
No comments:
Post a Comment