SHAH ALAM - Tiga daripada enam Exco Selangor dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim muncul di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini untuk menjalankan tugas mereka seperti biasa pada pagi ini.
Mereka ialah Datuk Teng Chang Khim dan V. Ganabatirau dari DAP dan Elizabeth Wong dari PKR.
Elizabeth berkata, beliau akan tetap memasuki pejabatnya untuk mempengerusikan mesyuarat bersama 'kakitangannya'.
"Kami (bekas Exco Selangor yang dipecat) tidak akan menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerana Menteri Besar (Abdul Khalid) tidak memberi kebenaran," katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan SSAAS di sini hari ini.
Sementara itu Abdul Khalid dan empat Exco negeri dari Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunos Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr. Halimah Ali difahamkan sudah memasuki pejabat Menteri Besar bagi memulakan mesyuarat Exco mingguan yang dijadual bermula sebentar lagi. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment