Translate

Tuesday, August 5, 2014

Rendang ayam tanda ingatan

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Hanya rendang ayam menjadi kenangan Intan Maizura Othaman, 34, terhadap suaminya, Mohd. Hazrin Hasnan yang merupakan salah seorang pramugara pesawat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), MH370 yang hilang lebih lima bulan lalu.

Beliau berkata, masakan tersebut merupakan kegemaran suaminya dan menjadi hidangan wajib mereka sekeluarga pada setiap pagi Aidilfitri.

“Itu semua tinggal kenangan. Saya juga tidak membuat sebarang persiapan bagi meraikan Aidilfitri pada tahun ini.

“Sebaliknya keluarga saya dari Perlis yang akan beraya bersama kami tiga beranak di rumah ini (Alam Impian di sini),” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Intan Maizura berkata, tumpuannya kini untuk menguatkan semangat bagi membesarkan kedua-duanya termasuk Muhammad berusia dua bulanb lebih yang baru dilahirkan pada 19 Mei lalu.

Menurut beliau, walaupun sudah tidak mengharapkan sebarang keajaiban, beliau tetap mahu kepastian tentang nasib penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang ghaib pada 8 Mac lalu.

“Kebanyakan perkembangan hanya diketahui daripada media massa dan media sosial. Saya pun keliru kerana sesetengah maklumat tersebut tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

Bercerita tentang kehidupan semasanya, Intan Maizura yang juga mempunyai seorang anak perempuan, Iman, 5, memberitahu Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) masih menjelaskan gaji bulanan suaminya.

Manakala, bayaran bulanan pembiayaan perumahannya di Alam Impian di sini pula ditanggung oleh syarikat insurans.

“Apa yang kami perlukan ialah sokongan moral daripada rakyat Malaysia untuk menghadapi kenyataan dan meneruskan kehidupan,” katanya.

No comments:

Post a Comment