Translate

Monday, August 4, 2014

Lambakan sisa sawit dibuang pihak tidak bertanggungjawab

KLANG - Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Sungai Kandis dekat sini risau tentang kewujudan berpuluh-puluh tong dram dipercayai mengandungi sisa kepala sawit yang dibuang di dalam kawasan semak-samun dekat sini sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Kandis, Muhni Kasdan mendakwa, beliau percaya kawasan semak-samun berhampiran sebuah ladang kelapa sawit telah dijadikan lokasi pembuangan haram sisa kelapa sawit itu.

“Pada mulanya kami curiga kehadiran banyak lori memasuki kawasan terbabit terutama pada waktu senja dan lewat malam sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Tinjauan kami mendapati lambakan tong dram yang mengandungi sisa kelapa sawit yang berminyak itu telah mencemari kawasan tersebut,” dakwanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk lain, Hidayat Mohd. Yusof, 37, pula mendakwa, penduduk mengesyaki perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik pengurusan kilang memproses minyak kelapa sawit dari sekitar daerah ini dan Shah Alam untuk menguruskan pembuangan sisa terbabit.

Namun dakwanya, kontraktor terbabit mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan berganda dengan membuangnya di kawasan tersebut.

“Kami tidak tahan lagi dan kecewa kampung ini telah dijadikan sebagai tapak pembuangan sisa industri haram dan bimbang ia memberi kesan kesihatan kepada kami.

“Sehubungan itu saya gesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment