Translate

Thursday, August 7, 2014

Pemuda trauma ditetak lelaki

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - “Sedang saya leka melayari internet tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masuk dengan bersenjatakan parang samurai.

“Tanpa berkata apa-apa mereka menetak saya dan beberapa pelanggan yang berada di dalam pusat siber tersebut. Saya tak dapat berbuat apa-apa dan fikir akan mati sahaja.”

Demikian cerita Muhammad Nurhan Abd. Karim, 26, mengimbas kembali kejadian dia dan enam pelanggan pusat siber di Taman Bayu Perdana, Pandamaran di sini di serang sekumpulan lelaki tidak dikenali pada kira-kira pukul 10 pagi, 31 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang kebanyakannya lelaki berasal dari Sabah berusia 20-an hingga 30 tahun cedera parah termasuk seorang berada dalam keadaan koma selepas tapak tangan dan kaki kirinya hampir putus ditetak.

Muhammad Nurhan yang biasa berkunjung ke pusat siber tersebut untuk melayari internet mendakwa sehingga hari ini terpinga-pinga dan tidak mengetahui motif serangan tersebut.

“Saya yang mula-mula diserang kerana duduk menghadap komputer terletak berhampiran pintu masuk pusat siber itu.

“Saya tidak mengenali mereka yang menyerang kami. Hendak kami ia bermotifkan samun, barang berharga kami tidak pula diusik. Mereka (kumpulan penyerang) beredar selepas hampir lima minit mengamuk dan penjaga pusat siber juga tidak dicederakan,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Wad 3A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Dia yang juga ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) diziarahi Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.

Muhammad Nurhan yang berasal dari Sandakan, Sabah memberitahu dia cedera parah di pergelangan tangan kanan, kepala dan belakang badan akibat serangan enam hingga tujuh lelaki terbabit.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Aidil Baaddu, 27, memberitahu mereka bukanlah pelajar maahad tahfiz seperti yang didakwa dalam mesej rantaian yang tersebar di media sosial.

Dia yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan sudah hampir 10 tahun bermastautin di bandar ini berharap pihak berkuasa dapat menjejak penyerang terbabit bagi memberi keadilan kepada dia dan mangsa lain.

Sementara itu, Amran Amri, 30, yang masih koma sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU ) hospital sama manakala baki empat mangsa lain difahamkan telah dibenarkan keluar daripada hospital.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati ia tidak disebabkan oleh faktor perkauman seperti yang didakwa media sosial sebelum ini.

Beliau memberitahu, kes sedang disiasat termasuk tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada faktor dendam lama.

No comments:

Post a Comment