Translate

Sunday, August 3, 2014

Perairan Selangor dikawal ketat

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Maritim Malaysia (APMM) telah mengetatkan penguatkuasaan di perairan Selangor bagi mengekang aktiviti penyusupan keluar dan masuk pendatang tanpa izin (PATI) pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Klang, Kepten Maritim Mohd. Aliyas Hamdan berkata, tumpuan diberikan di bahagian selatan perairan Selangor iaitu di pesisir Pelabuhan Klang, Pulau Carey, Morib, Klanang dan Sepang.

“Lokasi-lokasi itu telah dikenalpasti sebagai laluan tikus yang menjadi kegemaran sindiket membawa keluar dan masuk PATI dengan menggunakan tongkang dan bot pancung.

“Sepasukan penguat kuasa APMM dengan kekuatan sebuah kapal dan beberapa buah bot telah ditempatkan sejak 1 Julai lalu untuk melakukan pemantauan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohd. Aliyas berkata, operasi penguatkuasaan sempena Ops. Tumpas tersebut berlangsung sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini sehingga 15 Ogos ini.

Menurut beliau, selain penyusupan keluar dan masuk secara haram PATI, operasi berkenaan turut memberi penekanan untuk mengekang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok kretek dan minuman keras.

“Walaupun tumpuan lebih diberi terhadap bahagian selatan perairan Selangor bagi mengekang aktiviti penyusupan keluar dan masuk PATI, bahagian utara Selangor di perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam turut diberi perhatian.

“Berdasar pemerhatian, masalah di utara perairan Selangor lebih kepada pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan nelayan tradisional,” katanya.

Mohd. Aliyas memberitahu, sejak perlaksanaan Ops. Tumpas, sebuah bot gentian kaca yang membawa empat lelaki warga Indonesia disyaki PATI telah berjaya ditahan APMM pada 11 Julai lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang menjadikan Dumai, Sumatera, Indonesia sebagai transit mahu menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Morib.

No comments:

Post a Comment