Translate

Tuesday, August 12, 2014

Sultan tentukan nasib Khalid hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Nasib Tan Sri Abdul  Khalid  Ibrahim sebagai Menteri Besar bakal ditentukan oleh Sultan  Selangor , Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendapat nasihat daripada Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang akan bermesyuarat di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang berfungsi sebagai majlis penasihat kepada Sultan Sharafuddin akan membincangkan kedudukan Abdul  Khalid  dalam kerajaan negeri selepas Ahli  Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu dilucutkan keanggotaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

Abdul  Khalid  berkata, beliau akan menghadap Sultan Sharafuddin selepas mesyuarat Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  yang dijadual bermula pada pukul 9 pagi itu selesai. "Saya akan menghadap Tuanku (Sultan Sharafuddin) berhubung isu Menteri Besar selepas mesyuarat Majlis  Dewan   Diraja   Selangor  selesai.

"Sebarang keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Menteri Besar akan diumumkan selepas pertemuan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Sharafuddin pada majlis Kursus Perdana Haji peringkat  Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan PKR mengumumkan Abdul  Khalid  dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar baharu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong memberitahu, Abdul  Khalid  juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang termasuk menangguhkan perbincangan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN  Selangor.

Menurut Abdul  Khalid , beliau bertegas untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar sehingga kemelut jawatan itu diselesaikan mengikut prosedur yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri  Selangor.

Dalam perkembangan sama, beliau juga membayangkan akan mengambil tindakan perundangan terhadap kepimpinan PKR berhubung keputusan parti itu memecat keahliannya dalam parti.

"Saya menerima keputusan PKR (memecatnya) walaupun tindakan itu salah, tidak menurut undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Saya juga telah dinasihatkan peguam supaya tidak membuat apa-apa kenyataan agar tidak mengganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang," katanya.

Abdul  Khalid  dilantik sebagai Menteri Besar  Selangor  pada 13 Mac 2008.

No comments:

Post a Comment