Translate

Monday, August 18, 2014

Mahu anak Selangor sahaja jadi Menteri Besar

SHAH ALAM - Sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri sebagai Anak Jati Selangor menuntut hanya individu kelahiran negeri itu sahaja dilantik sebagai Menteri Besar.
Wakil kumpulan tersebut, Mohd. Kamal Mat Hasbi, 26, menolak pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu.
"Kami mewakili anak muda Selangor hanya mahu anak jati negeri ini menjadi Menteri Besar.
"Hanya individu kelahiran negeri ini faham dan mampu menjaga kebajikan kami," dakwanya ketika berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Mereka berdemonstrasi selama hampir setengah jam sambil membawa beberapa sepanduk seperti 'Kami mahu anak Selangor'.
Mohd. Kamal berkata, golongan muda negeri tersebut kecewa dengan tindakan Pakatan Rakyat (PR) menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tanpa sebarang alasan kukuh.
Menurutnya, selain anak jati Selangor, Abdul Khalid telah menjalankan tanggungjawab mentadbir negeri ini dengan baik.
Sementara itu, seorang lagi anggota Anak Jati Selangor, Muhammad Hafiz Saroni, 23, mendakwa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.
Dia mendakwa, selain bukan anak jati negeri, Wan Azizah tidak mempunyai kewibawaan untuk menerajui kerajaan negeri.
"Kita tengok masa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), (Wan Azizah) nak berbahas pun tak mahir.
"Tengok pada Langkah Kajang, selepas berbulan jadi wakil rakyat, apa perubahan yang sudah berlaku pada Kajang?," dakwanya. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment