Translate

Monday, August 18, 2014

Penolakan Wan Azizah sebelum ini kerana tiada perkenan Istana - Pas Selangor

SHAH ALAM - Pas Selangor menolak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu kerana dimaklumkan pencalonan itu tidak mendapat perkenan pihak Istana.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, ketiadaan perkenan dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan alasan utama penolakan Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Pas Selangor tolak sebelum ini bukan sebab Datin Seri Wan Azizah itu wanita tetapi kita dimaklumkan pencalonan beliau tidak mendapat perkenan Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah).
"Namun kita akur dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) semalam untuk tetap mencalonkan beliau. Mungkin ini percubaan (untuk mendapat perkenan Istana Selangor), kita tengok bagaimana," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sallehen yang juga ADUN Sabak memberitahu, empat Exco Pas termasuk beliau akan tetap menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diterajui Abdul Khalid sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
Beliau menjelaskan ia bertujuan memastikan pentadbiran negeri tetap berjalan lancar demi kebajikan rakyat Selangor.
"Kami (Pas Selangor) tetap berpegang dengan kenyataan Menteri Besar (Abdul Khalid) yang akur dengan keputusan PR menggantikan beliau tetapi tetap menjalankan tugas sehingga Menteri Besar baharu dilantik.
"Pentadbiran berjalan seperti biasa termasuk mesyuarat Exco mingguan pada Rabu ini. Kita tunggu sehingga Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris) pulang dari luar negara pada 27 Ogos ini," katanya. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment