Translate

Saturday, August 2, 2014

Ghairah uji senapang angin


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Keghairahan empat suspek untuk menguji senapang angin buatan sendiri yang baru disiapkan dipercayai punca seorang kerani cedera terkena peluru sesat di Jalan Jugra, Taman Banting, Kuala Langat Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, siasatan awal juga mendapati, keempat-empat suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu sedang menyiapkan senapang angin buatan sendiri dalam kuantiti banyak.
“Sewaktu kejadian, seorang pengusaha kedai aksesori kenderaan dan dua pekerja serta seorang kenalannya sedang menguji senapang angin buatan sendiri yang baru disiapkan.
“Kebetulan kereta Honda City dinaiki mangsa melalui jalan di hadapan premis tersebut dan peluru besi yang dilepaskan mengenai dahi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.Abd. Rahim berkata, serbuan juga menjumpai banyak komponen yang dipercayai digunakan untuk membuat lebih banyak senapang angin.

Namun menurut beliau, motif keempat-empat suspek membuat senapang angin buatan sendiri berkenaan masih disiasat.

“Kesemua suspek sedang direman selama seminggu sehingga 6 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan dahi tengah seorang kerani, Mohd. Syukur Shafie, 31, berlubang selepas terkena peluru sesat ketika sedang dalam perjalanan ke stesen minyak di Jalan Jugra, Taman Banting, Kuala Langat dekat sini.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk menerima rawatan turut mengalami kecederaan pada mata kirinya selepas terkena serpihan kaca tingkap kereta yang pecah.



No comments:

Post a Comment