Translate

Wednesday, August 27, 2014

Khalid masih MB Selangor

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan MOHD. AZLI ADLAN 
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kemelut politik Selangor masih belum berakhir apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga pelantikan Menteri Besar yang baharu ditentukan.
Abdul Khalid yang membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, langkah itu bertujuan memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.
“Sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara L1 (1) Perkara LIII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor diperuntukkan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan seorang Menteri Besar yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi. 

Menurut Abdul Khalid, kenyataan akhbar tersebut memberitahu, Sultan Selangor telah menitahkan setiap pemimpin parti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada parti-parti dalam parti Pakatan Rakyat (PR) sebagai calon Menteri Besar Selangor. 

Ia bertujuan memudahkan baginda untuk menentukan calon berkelayakan. 

"Ini adalah sejajar dengan konvensyen yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini," ujarnya. 

Kenyataan akhbar tersebut dibaca oleh Abdul Khalid selepas beliau menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini petang semalam. 

"Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya untuk meletakkan jawatan dan telah membuat keputusan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai," katanya. 

Abdul Khalid memberitahu: "Saya juga telah memohon maaf kepada Tuanku atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak Istana terheret sama dalam kemelut pentadbiran di negeri ini.

" Beliau turut ditanya adakah Sultan Selangor menolak dua calon iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar. Beliau menjawab, tidak ada. 

"Sebenarnya Tuanku hanya meminta supaya tiap-tiap parti mencalonkan nama sebab Pakatan Rakyat bukan terdiri daripada satu kumpulan tetapi ada tiga kumpulan. 

"Jadi tiap-tiap kumpulan tersebut mesti menghantar sekurang-kurangnya dua nama... dua nama daripada Pas, PKR dan DAP... sekurang-kurangnya," katanya. 

Abdul Khalid yang ditanya bila tempoh diberikan oleh Sultan Selangor untuk penyerahan nama-nama calon Menteri Besar berkata, pihaknya difahamkan Istana akan menulis surat kepada pemimpin Pakatan Rakyat secepat mungkin. 

Beliau menafikan pertemuan dengan Sultan Selangor membincangkan mengenai pelantikan Menteri Besar dalam kalangan wanita.

No comments:

Post a Comment