Translate

Wednesday, August 13, 2014

6 Exco Pakatan Rakyat dipecat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor runtuh apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak memecat enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berkuat kuasa serta-merta.
Khalid telah menghantar surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan untuk memecat Exco terbabit semalam.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana kesemua Exco terbabit cuba mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar untuk mentadbir negeri itu dengan lancar.

"Exco DAP dan PKR tadi sudah tandatangani satu surat supaya diadakan satu blok (pakatan) bertujuan untuk mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

"Oleh sebab itu, saya telah minta dan tulis surat kepada baginda Sultan agar anggota Exco itu tidak teruskan kerja mereka sebagai Exco," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mereka ialah Datuk Teng Chang Khim yang memegang  portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan; Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram ) dan V. Ganabatirau (Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin) dari DAP.

Turut terlibat Rodziah Ismail yang memegang portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr. Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar) dari PKR.

Bagaimanapun, surat pemecatan ke atas Rodziah masih belum dihantar kerana beliau kini berada di luar negara.

Terdahulu kesemua Exco terlibat dalam kenyataan bersama berkata, mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.

Bagaimanapun, mereka menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Mereka juga dilaporkan berkata, dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara sementara menunggu seorang Menteri Besar daripada Pakatan Rakyat dilantik.

"Abdul Khalid dan MMKN juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.

"Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.

Dalam pada itu, keempat-empat Exco dari Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi memberi jaminan untuk terus menyokong di belakang kepimpinan Abdul Khalid.

Ahmad Yunus yang ditemui berkata, Abdul Khalid telah memberi penerangan secara ringkas kepada mereka mengenai pembahagian tugas berikutan perkembangan terbaharu terbabit.

“Kami berpegang kepada dengan arahan Pas Pusat untuk kekal sebagai Exco negeri sehingga keputusan rasmi dibuat pada mesyuarat 17 Ogos ini,” katanya.

Semenatara itu, Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan anggota Exco dari Pas bagi membincangkan pentabdiran kerajaan Selangor.

"Melalui perbincangan ini, saya berharap pentadbiran Selangor dapat berjalan dengan mantap dan semua program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwan beliau ada menghantar surat untuk menyertai Pas, Abdul Khalid menafikannya.

Dalam perkembangan sama, Exco DAP dan PKR yang dipecat oleh Abdul Khalid melahirkan perasaan terkejut dengan keputusan tersebut.

Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan mendakwa beliau masih belum menerima surat yang dikatakan telah dihantar Menteri Besar berhubung pemecatan itu.

"Saya rasa ramai Exco yang terlibat akan bertugas seperti biasa esok (hari ini) memandangkan pengesahan pemecatan itu diragui," katanya.

No comments:

Post a Comment