Translate

Friday, October 25, 2013

TNB perkemas prosedur lepas air

CAMERON HIGHLANDS - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengemas kini prosedur operasi standard pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar bagi mengelak kejadian banjir lumpur yang mengorbankan empat nyawa di Lembah Bertam di sini berulang.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan akan dipertingkatkan bagi memberi maklumat awal kepada penduduk setiap kali aktiviti pelepasan air empangan terpaksa dilakukan.
"Kita akan mengambil maklum titah baginda (Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) terutama waktu siren dibunyikan untuk makluman penduduk.
"Kita akan kaji bersama dengan agensi kerajaan lain supaya perkara ini dapat dilaksanakan pada masa depan," katanya selepas mengiringi Tengku Abdullah melawat lokasi dan mangsa banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet dekat sini semalam.

Turut hadir  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif /Presiden TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

Beliau mengulas saranan Tengku Abdullah bagi memantapkan lagi prosedur operasi standard pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar terutama bagi jadual pelepasan air dan sistem penyebaran maklumat mengenai aktiviti itu kepada penduduk.

Sementara itu, Azman berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya turut dilibatkan setiap aktiviti pelepasan air empangan dilakukan pada masa depan kerana ia turut melibatkan isu keselamatan empangan.

"Kita akan mantapkan lagi prosedur operasi standard dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga MKN. 

"Namun apa yang lebih penting saya minta penduduk tempatan perlu memberi lebih kerjasama kerana mereka perlu sedar lokasi di sini berisiko tinggi. Siren amaran perlu dipatuhi segera, jangan anggap ia latihan semata-mata," tegasnya.

No comments:

Post a Comment