CAMERON HIGHLANDS - "Kami terkurung di dalam rumah kerana pintu tidak boleh dibuka. Ketika itu air terus melimpah masuk sehingga ke paras dada," kata Shaifa Jamil, seorang daripada 54 penduduk yang dipindahkan apabila rumah mereka di Lembah Bertam musnah dalam kejadian banjir kilat semalam.
Shaifa, 19, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini berkata, ketika kejadian dia dan ibunya berada di dalam rumah manakala ayah dan abangnya berada di luar rumah.
Menceritakan detik cemas itu, dia berkata, siren kecemasan dibunyikan dua kali sebelum dia kemudian ternampak kayu balak dibawa arus Sungai Bertam.
Shaifa berkata, ayahnya terpaksa memecahkan tingkap untuk mengeluarkan dia dan ibunya yang terperangkap di dalam rumah.
Sementara itu, Mohd. Eswandy Zubir, 21, berkata, hampir semua rumah di kawasan itu musnah akiba limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar.
"Banyak barang rosak kecuali dokumen pengenalan diri," kata Eswandy.
Dalam pada itu, Bakaruddin Makmun, 28, suami keapda Jarwati yang masih hilang berkata, sebelum kejadian dia tidur dan hanya tersedar selepas dia dan isteri terhumban ke Sungai Bertam secara tiba-tiba.
"Saya sempat berpaut pada paip air di tebing sungai tetapi saya sangat sedih kerana tidak sempat memaut isteri yang kemudian hilang di depan mata saya," katanya yang mendoakan isterinya segera ditemui.
Seorang warga Bangladesh, Jahangir, 22, pula terkilan kerana dia gagal menyelamatkan rakan senegaranya itu yang terkorban dalam kejadian itu.
Katanya, dia bergegas ke rumah Md. Jahangir Alam, 30, sebaik melihat air sungai naik tetapi dia tidak mampu sampai ke rumah rakannya itu kerana arus terlalu deras.
"Saya hanya dapat menyaksikan bagaimana rumah Mohd. Jahangir ditenggelami air sehingga paras bumbung," jelasnya.
Dalam kejadian itu tiba terbunuh iaitu Md. Jahangir Alam, Kesmat dan Tam Tuck Choi.
No comments:
Post a Comment