azli.adlan@kosmo.com.my
KEMELUT antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Mohd. Azraai Khor Abdullah berhubung pelepasan kontraknya sebagai ketua jurulatih Perak dijangka berakhir hari ini.
Azraai berkata, rundingan antara beliau dan PAFA mengenai terma dan syarat pelepasan kontraknya telah diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak semalam.
"Kedua-dua pihak secara bersama sudah bersetuju dengan beberapa terma dan syarat pelepasan kontrak saya yang sepatutnya berakhir Oktober tahun depan.
"Alhamdulillah, segalanya sudah selesai. Jadi, sekarang habis cerita," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Azraai memberitahu, beliau difahamkan PAFA sedang menyiapkan surat persetujuan pelepasan kontrak yang bakal ditandatangani kedua-dua pihak hari ini.
Sebelum ini, niat Azraai untuk meninggalkan skuad Seladang yang disampaikan jurulatih berusia 61 tahun itu secara lisan kepada Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun pada Ahad lalu, kurang dipersetujui Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Zainol Fadzi berkata, Azraai masih perlu berkhidmat dengan PAFA biarpun bukan sebagai ketua jurulatih selagi tiada 'hitam putih' pembatalan kontrak.
Polemik antara Azraai dan PAFA dikatakan mula tercetus apabila khidmatnya dibekukan sementara pada penghujung bulan lalu selepas persatuan itu mengesyaki wujud unsur sabotaj dan rasuah dalam skuad Seladang.
Drama membabitkan kedua-dua pihak tidak terhenti di situ selepas Azraai tidak kembali mengendalikan sesi latihan meskipun PAFA menarik balik tempoh penggantungan itu minggu lalu.
Isu itu bertambah hangat apabila PAFA melantik jurulatih skuad Piala Presiden Perak, Abu Bakar Fadzim bagi menggantikan tempat Azraai musim depan.
"Saya percaya ia dapat diselesaikan secara baik dan memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.
"Jadi, saya harap ia dapat diselesaikan segera dalam tempoh sehari dua ini," katanya.
No comments:
Post a Comment