Translate

Tuesday, October 22, 2013

Perak sudah ada pengganti Azraai


SEHARI selepas Mohd. Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya, semalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baharu skuad Perak.
Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, bekas pemain pertahanan Perak tersebut dinaikkan pangkat untuk mengemudi skuad Seladang bagi menghadapi cabaran Liga Super musim depan berikutan prestasi cemerlangnya sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Perak.

“Abu Bakar telah berada di barisan kejurulatihan skuad Piala Presiden sejak lapan tahun lalu bermula sebagai penolong jurulatih sebelum dinaikkan pangkat sebagai jurulatih pada 2009.

“Di bawah kendalian Abu Bakar sejak lima tahun lalu, prestasi skuad Piala Presiden Perak cemerlang dengan sentiasa di kelompok empat terbaik termasuk muncul juara dan naib juara piala itu pada tahun 2012 dan tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Zainol Fadzi menegaskan keputusan melantik Abu Bakar tiada kena-mengena dengan keputusan Mohd. Azraai untuk berpisah dengan skuad Perak.

Sebaliknya, beliau memberitahu ia sebagai menyahut saranan kebanyakan penyokong tegar skuad Seladang yang mahupun pegawai dan pemain skuad Piala Presiden diberi lebih ruang dan peluang untuk ditonjolkan.

“Prestasi skuad Piala Presiden sentiasa konsisten dan jauh lebih baik berbanding skuad utama yang mengecewakan sekadar menduduki tempat ketujuh pada saingan Liga Super,” katanya.

Zainol Fadzi turut membayangkan sekurang-kurangnya 10 pemain muda dari skuad Piala Presiden akan diserap ke skuad utama musim depan.

Pada masa sama, beliau berkata, sekurang-kurangnya lima pemain pengalaman termasuk ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha bakal berhijrah ke pasukan lain setelah kontrak mereka masing-masing berakhir hujung bulan ini.

“Kita juga sedang berusaha menarik masuk pemain-pemain baharu termasuk pemain import untuk memperkuat pasukan Perak musim hadapan,” katanya.

Mengenai masa depan Mohd. Azraai, Zainol Fadzi berkata, masih terdapat beberapa terma dan syarat pemisahan masih belum dipersetujui dan memerlukan perbincangan lanjut melibatkan kedua-dua pihak.

“Bagi saya, selagi tiada hitam putih pembatalan kontrak, Mohd. Azraai masih perlu berkhidmat dengan Pafa. Dia mungkin bukan lagi ketua jurulatih tetapi kontrak sebagai pegawai Pafa yang hanya akan berakhir Oktober 2014 perlu dipatuhi,” katanya.

Sebagai contoh, Zainol Fadzi berkata, bekas jurulatih  Perak pada musim 2010, Raja Azlan Shah Raja Soib masih berkhidmat dengan Pafa biarpun jawatannya sebagai ketua jurulatih pada masa itu telah digantikan dengan Norizan Bakar.


"Disebabkan perbincangan pelepasan gagal mencapai kata sepakat, Raja Azlan Shah terus berkhidmat sebagai Pengerusi Teknikal dan Pembangunan Pafa sehingga kontraknya tamat setahun kemudian," jelasnya.

No comments:

Post a Comment