Translate

Sunday, October 6, 2013

Ditipu syarikat francais

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Hasrat seorang bekas pelajar kolej komuniti untuk menjadi usahawan makanan segera tidak kesampaian selepas dia mendakwa dianiayai sebuah syarikat berkaitan perniagaan francais.

Mangsa, Farid Azdi Mohd. Adli Lee, 24, dari Taman Salak, Sungai Siput dekat sini mendakwa tidak menerima peralatan dan perkhidmatan yang dijanjikan syarikat tersebut biarpun sudah melunaskan pembayaran pembelian lesen francais dengan syarikat berkenaan pada awal tahun ini.

Dia yang berkelulusan dalam jurusan Hotel dan Katering dari Kolej Komuniti Kuala Kangsar mendakwa telah menandatangani perjanjian menjalankan perniagaan francais menjual makanan segera berasaskan roti dengan menggunakan van di sekitar Sungai Siput dan Kuala Kangsar dengan syarikat tersebut pada 7 Mac lalu.

“Terdahulu saya telah melunaskan pembayaran RM118,000 secara tunai secara berperingkat-peringkat sekitar Januari dan awal Februari sebagai pakej perniagaan menyertai program francais kendalian syarikat tersebut.

“Namun sehingga kini kelengkapan perniagaan seperti van dan peralatan memasak yang dijanjikan masih belum diserahkan oleh syarikat tersebut,” dakwa dia yang turut ditemani ibunya, Rozilawati Mohd. Ariff, 46, pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini semalam.

Turut hadir Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah.

Farid Azdi mendakwa, mengikut perjanjian, van dan semua kelengkapan itu sepatutnya diterima dalam tempoh sebulan selepas perjanjian ditanda tangani.

Ekoran itu, dia mendakwa bukan sekadar hilang peluang perniagaan malah terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM118,000 yang dipinjam daripada sanak saudaranya.


Farid Azdi memberitahu dia telah membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada 5 April lalu.

No comments:

Post a Comment