IPOH - Taman tema air terkenal di sini, Lost World of Tambun (LWOT) menampilkan tarikan baharu, Lost World Haunted Chambers iaitu rumah hantu yang direka dengan konsep pengembaraaan ke rumah usang di kawasan pedalaman yang dihuni dengan watak-watak hantu yang menyeramkan.
Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho berkata, tarikan terbaharu itu direka untuk pengunjung yang menggemari alam misteri dan mahu mengalami pengalaman menyeramkan serta mahu menguji deria ketakutan mereka.
“Kanak-kanak di bawah enam tahun, wanita hamil dan individu yang mengalami masalah kesihatan terutama melibatkan jantung tidak dibenarkan memasuki rumah hantu ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Calvin menjelaskan, Lost World Haunted Chambers dibuka pada setiap hari dari pukul 12 tengah hari dan 6 petang dan setiap kemasukan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM5 pada hari biasa dan RM10 pada hujung minggu serta musim cuti persekolahan.
Tambah beliau, pengunjung yang memasuki Lost World Haunted Chambers juga bakal menerima barangan eksklusif berupa baju T, topi atau tuala secara percuma.
“Serentak dengan pembukaan rumah hantu tersebut, LWOT turut membuka Muzium Seram Asia yang memaparkan informasi mengenai hantu-hantu terkenal di sekitar Asia seperti Keung Si, Mohini, toyol, pocong, hantu kubur dan pontianak,” katanya.
Jelasnya, kemasukan untuk muzium yang hanya dibuka selama sebulan sehingga 31 Oktober itu adalah percuma.
No comments:
Post a Comment