Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, MOHD. AZLI ADLAN dan SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
berita@kosmo.com.my
SEREMBAN - Sebahagian peraturan pada Pemilihan UMNO 2013 dilihat kurang bijak hingga boleh membantutkan proses pemilihan parti.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seorang calon yang bertanding sukar untuk memperkenalkan diri sekiranya wujud sekatan yang tidak bijak, lebih-lebih lagi muka baharu yang belum dikenali oleh perwakilan.
Kata beliau, antara peraturan yang disifatkan tidak begitu sesuai ialah calon tidak beleh berkempen secara besendirian untuk bertemu perwakilan.
"Kalau hendak menjadi calon tetapi tidak boleh berkempen, bagaimana hendak menang. Jadi ketua kelas pun, kita kena kempen, inikan pula hendak menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan di sini semalam.
Mohamad yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan calon MT berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi beberapa calon berhadapan kesulitan untuk berkempen dan menganggap syarat yang ditetapkan terlalu ketat.
"Saya bercakap tentang soal pemilihan dan jawatankuasa pemilihan kurang bijak. Kita faham dalam jawatankuasa berkenaan ada pemimpin tertinggi dan hal ini perlulah diberi perhatian," kata beliau.
Pada Pemilihan UMNO 2013 antara syarat kempen uang dikenakan ialah calon tidak boleh menggunakan mana-mana penerbitan atau media massa untuk berkempen atau menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu.
Calon juga tidak dibenarkan berkempen secara bersendirian dan hanya boleh mempromosi diri melalui majlis yang diatur Badan Perhubungan UMNO setiap negeri.
Bagaimanapun, jawatankuasa pemilihan baru-baru ini memberi kebenaran kepada calon-calon bertanding untuk berkempen melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO peringkat bahagian akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini sementara Persidangan Perwakilan dan Pemilihan UMNO Bahagian serta jawatan MT dijadualkan pada 19 Oktober ini.
Sementara itu di Ipoh, Perak, seorang lagi calon MT, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kaedah sesi memperkenalkan calon bertanding wajar dikaji semula sekali gus memberi lebih banyak ruang perwakilan mengenali pemimpin pilihan mereka.
Beliau yang menarik perhatian mengenai kehadiran kira-kira 2,000 perwakilan UMNO di Stadium Indera Mulia itu berkata, hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan perwakilan Perak yang hadir.
“Kalau sekadar duduk di atas (pentas) dan nama diperkenalkan sekali, saya rasa ini bukan kaedah sesuai dalam keadaan 145,000 pengundi dan tempat ini pun tidak memungkinkan seluruh 24 bahagian di Perak datang," katanya.
Calon MT, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, calon-calon perlu diberi sedikit kelonggaran berkempen kerana majlis memperkenalkan diri seperti itu tidak memadai untuk mendekati perwakilan.
No comments:
Post a Comment