Translate

Wednesday, October 23, 2013

Sarjan disiasat atas tiga kesalahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Anggota polis berpangkat sarjan yang terlepas tembakan sehingga mencederakan seorang budak, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, di Kampung Belanja Kiri, Parit berkemungkinan didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan berunsur jenayah.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sarjan berusia 30-an itu kini disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 338 Kanun Keseksaan.
"Seskyen 37 Akta Senjata Api 1960 ialah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan manakala Seksyen 39 akta sama pula ialah melepaskan tembakan di kawasan tidak dibenarkan.
"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan iaitu membuat perlakuan yang membahayakan nyawa awam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.
Seksyen 37 Akta Senjata Senjata Api 1960 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 39 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 338 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, menurut Paramasivam, penolong pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping itu turut disiasat oleh Unit Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran tindakannya membawa senjata api di luar waktu tugas.
Berdasarkan prosedur operasi standard, setiap anggota polis perlu menyerahkan semula senjata api ke balai masing-masing sebelum bercuti.
"Pihak kami sedang menyiasat kenapa sarjan itu dibenarkan membawa senjata api sewaktu bercuti.
"Sebagai anggota polis yang bertugas di Daerah Taiping, anggota itu perlu mendapatkan pas berek untuk meninggalkan daerah itu untuk ke daerah lain iaitu daerah Perak Tengah dalam kes ini," kata beliau.

Sejak kejadian pada 14 Oktober itu, Paramasivam memberitahu, sarjan itu masih dibenarkan bertugas seperti biasa memandangkan siasatan kes berkenaan masih belum selesai.

"Tindakan tatatertib selanjutnya seperti pengantungan tugas atau penukaran bidang tugas hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai sepenuhnya," katanya.

Menurut beliau, siasatan mengenai insiden itu hampir selesai kecuali polis menunggu masa sesuai untuk mengambil keterangan daripada Mohd. Amar.

"Keterangan Mohd. Amar hanya akan diambil selepas emosi kanak-kanak itu benar-benar stabil," kata beliau.

Paramasivam memberitahu setakat ini seramai 14 hingga 15 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes tersebut.

Sementara itu, bapa Mohd. Amar, Mohd. Azizi Abdullah Halim, 48, yang dihubungi memberitahu tahap kesihatan dan emosi anaknya telah selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang tersekat pada kerongkongnya pada Ahad lalu beransur pulih.

“Dia juga berselera makan bihun goreng yang dimasak ibunya pagi tadi. Saya harap anak bongsu saya ini dibenarkan keluar hospital esok (hari ini) atau lusa (esok),” katanya.

Kosmo! pada 16 Oktober lalu melaporkan, Mohd. Amar cedera parah selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis P99 milik seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika anggota polis tersebut sedang mengosongkan peluru di hadapan rumah mertuanya sebelum satu das tembakan terlepas dan mengenai Mohd. Amar yang sedang bermain.

No comments:

Post a Comment