Translate

Tuesday, October 22, 2013

Amar pulih dalam tempoh 3 bulan


IPOH - Kecederaan budak lelaki yang terkena tembakan peluru sesat yang terlepas daripada pistol seorang anggota polis di Kampung Belanja Kiri, Parit dekat sini pada minggu lalu dijangka sembuh sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang tersekat di kerongkongnya kelmarin dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada lusa atau Khamis ini.
"Keadaan Mohd. Amar stabil dan bebas daripada apa-apa risiko. Begitupun pemeriksaan mendapati tembusan peluru di bahagian kerongkong berkenaan telah menyebabkan tulang lehernya retak sedikit.
"Mohd. Amar perlu memakai pelindung leher sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan," kata beliau pada sidang akhbar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah sebahagian besar pegawai perubatan HRPB yang terlibat dalam pembedahan mengeluarkan peluru di kerongkong yang julung kali dilakukan ialah Pakar Perunding Neorosurgeri, Dr. Cheang Chee Keong; Pakar Perunding Otorinolaryngiology, Dr. Rosalind Simon; Pakar Kanak-Kanak, Dr. Alex Khoo; Ketua Jabatan Pediatrik, Datuk Dr. Amar Singh dan dua pakar Otorinolaryngiology, Dr. Harvinder Singh dan Dr. M. Somasudran.
Nolee berkata, keretakan pada leher Mohd. Amar akan terus dipantau dan keputusan sama ada pembedahan susulan perlu diadakan akan dibuat pada Disember ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, pembedahan merupakan pilihan terakhir kerana kebiasaannya keretakan leher pada kanak-kanak tersebut akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Chee Keong berkata, pembedahan mengeluarkan peluru pada kerongkong Mohd. Amar menggunakan tiub yang dimasukkan melalui mulut kanak-kanak itu berlangsung selama dua jam setengah bermula pukul 9.30 pagi kelmarin.

"Pembedahan ini berisiko tinggi dan kami menggunakan peralatan pembedahan canggih iaitu Sistem Bantuan Imej dan Monitor Pengoperasian Intra. Kedua-dua mesin itu membolehkan kami melihat imej di dalam kerongkong dan dapat memberi amaran awal sekiranya kamera tiub tersentuh saraf sensitif yang boleh menyebabkan komplikasi selepas pembedahan,” kata beliau yang mengetuai pasukan pembedahan itu.

Dalam pada itu bapa mangsa, Mohd. Azizi Abdullah Halim, 48, berkata, beliau sekeluarga lega anak bongsunya mulai sedar pada lewat petang kelmarin dan kanak-kanak itu juga sudag boleh bercakap dan minum.

Kosmo! pada 16 Oktober lalu melaporkan, Mohd. Amar parah terkena satu das tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis P99 milik seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Kejadian pukul 4.30 petang, 13 Oktober lalu itu berlaku ketika anggota polis tersebut sedang mengosongkan peluru di hadapan rumah mertuanya lalu mengenai Mohd. Amar yang sedang bermain.

No comments:

Post a Comment