Translate

Friday, October 25, 2013

3 mati dalam gulungan lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


CAMERON HIGHLANDS - Tiga terbunuh dengan dua daripada mereka mati lemas selepas terperangkap dalam rumah yang ditenggelami banjir lumpur manakala seorang lagi diserang sakit jantung kerana terkejut dengan kejadian bencana alam yang tiba-tiba melanda Lembah Bertam, Ringlet dekat sini semalam.
Kejadian pukul 1 pagi yang menenggelamkan hampir keseluruhan perkampungan milik pekebun sayur yang tinggal di tebing Sungai Bertam berpunca daripada limpahan air Empangan Sultan Abu Bakar yang terletak 1.3 kilometer dari kawasan yang dilanda banjir.
Dua mangsa yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh, Md. Zahangi Alam, 30, dan seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Kesmat, 46.

Seorang lagi mangsa, Tam Tuck Choi, 51, mati akibat diserang sakit jantung kerana terkejut melihat rumahnya dimasuki air melebihi satu meter dalam sekelip mata.

Dalam kejadian sama, seorang lagi wanita Indonesia dikenali sebagai Jarwati, 24, hilang dihanyut air Sungai Bertam sehingga lewat malam tadi nasib mangsa belum diketahui.

Seorang lagi penduduk, Ho Kin Wang, 38, luka di kaki kanan akibat terpijak kaca sewaktu menyelamatkan diri dariapada dihanyutkan banjir lumpur.

Air di kampung itu surut sepenuhnya pada pukul 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian banjir lumpur itu berpunca daripda air di Empangan Sultan Abu Bakar yang dilepaskan selepas melebihi paras bahaya.

"Hujan lebat luar biasa selama enam jam mulai pukul 7 malam semalam (kelmarin) meningkat paras air empangan ke paras bahaya sehingga 3,510 meter dari paras laut. Bagi mengelak empangan pecah, pihak pengurusan melepaskan lebihan air tiga kali iaitu pada pukul 12.30 tengah malam. 1 pagi dan 2.45 pagi.

"Air yang dilepaskan itu melimpah memasuki Sungai Bertam dan menjadi punca kepada banjir lumpur yang menenggelamkan perkampungan di Lembah Bertam," kata beliau.

Menurut beliau, siren amaran dan anggota polis bertugas telah membuat pengumumna kepada penduduk setempat kira-kira 15 minit sebelum pintu empangan dibuka tetapi paras air yang meningkat terlalu cepat menyebabkan kebanyakan 300 penduduk tidak sempat menyelamatkan diri.

Akibat banjir lumpur itu, dianggarkan 80 buah rumah rosak termasuk 10 ranap sepenuhnya manakala 100 kenderaan pelbagai jenis musnah.

Turut terjejas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley.

Wan Mohd. Zahari memberitahu, mayat Md. Zahangi ditemui terperangkap di dalam rumahnya pada pukul 8 pagi manakala mayat Kesmat ditemyui dalam runtuhan di dalam rumahnya yang ranap 15 minit kemudian.

Seramai 38 mangsa banjir lumpur telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Seorang penduduk, Maimunah Din, 64, berkata, dia mengakui terdengar bunyi siren amaran ketika tidur pada pukul 12.30 tengah malam sebagai tanda air di empangan akan dilepaskan.

"Pada mulanya saya cuba tidak menghiraukan amaran itu kerana sebelum ini pelepasan air empangan itu jarang menyebabkan banjir.

"Tetapi saya yang tidak sedap hati cuba menjenguk ke luar rumah sebelum terkejut melihat aurs deras datang mengulung-gulung dari hulu Sungai Bertam," kata wanita itu,

Maimunah memberitahu, dia kemudian mengendong dua cucunya yang berumur lima da setahun menyelamatkan diri.

Kali terakhir banjir besar melanda Lembah Bertam ialah pada tahun 1988 namun ia tidak seteruk semalam.

No comments:

Post a Comment