Translate

Wednesday, May 8, 2013

Zambry angkat sumpah MB Perak penggal kedua


Oleh MOHD. AZLI ADLAN 
azli.adlan@kosmo.com.my


KUALA KANGSAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Iskandariah di sini semalam.
Istiadat penyampaian surat cara pelantikan dan upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor kemudian menandatangani surat cara pelantikan berkenaan sambil disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Turut mencemar duli hadir pada istiadat berkenaan ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Turut hadir ialah kesemua 31 ADUN BN negeri yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad lalu.
Keputusan PRU-13 menyaksikan BN kekal menerima mandat memerintah kerajaan negeri Perak dengan majoriti mudah apabila menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN.
Zambry ketika ditemui pemberita berkata, barisan Exco kerajaan negeri akan diumumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diperkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam tempoh terdekat.
Beliau juga membayangkan barisan Exco tersebut akan menampilkan gabungan muka lama dan baharu, selain pelantikan seorang Penasihat Menteri Besar Perak bagi kaum India.
"Bagi jawatan Penasihat Menteri Besar Perak bagi kaum Cina dan kouta Exco untuk komuniti itu pula, saya akan melakukan perbincangan semula dengan pucuk pimpinan BN.
"Kita ada seorang wakil rakyat daripada MCA iaitu Datuk Mah Hang Soon yang memenangi DUN Chenderiang. Saya memang berharap beliau dapat menyertainya kerana beliau antara Exco kerajaan negeri terbaik pada penggal lalu," katanya.
Kepimpinan MCA dan Gerakan sebelum ini enggan menerima sebarang jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan berikutan kemerosotan prestasi dua parti mewakili kaum Cina itu pada PRU-13.

No comments:

Post a Comment