Translate

Tuesday, May 7, 2013

Mayat dalam lombong


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


BATU GAJAH – Tanda-tanya mengenai kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu terjawab apabila dia ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di dalam bekas lombong berhampiran Kawasan Industri Bemban di sini kelmarin.
Mayat K. Murugan, 37, ditemui terapung di dalam bekas lombong berkenaan pada pukul 5 petang oleh seorang penggembala lembu yang sedang menghalau ternakannya pulang ke kandang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, lelaki itu pergi ke kawasan lombong tersebut selepas tercium bau busuk.
“Dia kemudian terkejut apabila menemui satu mayat dengan tangan dan kakinya diikat sebelum melaporkannya kepada polis.
“Siasatan mendapati mangsa dikenali sebagai K. Murugan, 37, yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Bidor dekat sini pada pukul 11.30 malam Rabu lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, identiti mangsa dicam oleh ahli keluarganya melalui satu ukiran tatu yang terdapat pada badannya.

Menurut Shaharon Anuar, pemeriksaan mendapati mangsa telah mati lebih dari lima hari lalu dan polis menemui beberapa gulungan dawai berukuran lebih kurang 50 meter dan cebisan pita pelekat berwarna hitam yang digunakan untuk mengikat Murugan.

"Kita percaya mangsa telah dibunuh berdasarkan penemuan kesan pukul di dahi dan belakang kepalanya. Ketika ditemui mayat itu hanya berseluar pendek," katanya.

Ujar Shaharon Anuar, mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes itu di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment