Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, tempoh 2013 hingga 2020 merupakan tujuh tahun yang amat genting bagi memastikan visi Wawasan 2020 itu tercapai.
Beliau berkata, negara sudah berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara maju berdasarkan perkembangan positif program Transformasi Ekonomi yang di rangka BN.
“Semuanya sudah hampir sempurna untuk kita capai (Wawasan 2020) asalkan pertumbuhan ekonomi itu stabil dan berterusan.
“Kalau kita terlepas tujuh tahun keemasan ini, peluang untuk menjadi negara berpendapatan tinggi akan musnah,” katanya ketika merasmikan Perpustakaan Chemor di sini hari ini.
Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed dan calon BN bagi DUN Hulu Kinta, Datuk Aminudddin Md. Hanafiah.
Sehubungan itu, Ahmad Husni yang juga calon BN bagi Parlimen Tambun berkata, rakyat perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap kemampuan BN mengurus kewangan negara dengan cemerlang.
Menurut beliau, ia dibuktikan dengan kejayaan negara mencapai kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.4 peratus pada tahun lalu mengatasi negara Amerika Syarikat, Singapura, Britain dan Kesatuan Eropah di kala iklim ekonomi global belum stabil.
“Apatah lagi pembangkang yang menguasai kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sejak 2008 gagal menunjukkan kemampuan mereka.
“Ada ke idea untuk polisi ekonomi (ditonjolkan)? Mereka hanya ikut polisi lama yang telah dikemukakan BN dan bergantung kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan pelaburan,” katanya. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment