"PADA 5 Mei ini, insyaallah saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali keenam sejak pertama kali melakukannya pada Pilihan Raya Umum ke lapan (PRU-8).
Sebagai penduduk Kampung Sayung Tengah (Perak), saya tidak akan mempersia-siakan peluang keemasan memilih wakil rakyat untuk Parlimen Kuala Kangsar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan.
Biarpun tinggal di kampung, saya sedar kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat yang berwibawa dan amanah untuk membela nasib dan kebajikan kita.
Pengalaman pertama menjadi pemilih pada umur 24 tahun pada 1990 masih diingati kerana pada tahun tersebut jugalah saya mula menceburkan diri dalam perusahaan membuat labu sayung.
Bermula dari bawah, Perusahaan Win Kraf yang saya sekeluarga usahakan ini telah berkembang maju hasil sokongan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah banyak membantu memperkukuh promosi labu sayung yang merupakan seni halus penduduk Kampung Sayung sehingga terkenal di mata dunia.
Senario itu membuatkan semakin ramai generasi muda memilih untuk kekal di kampung halaman untuk meneruskan legasi membuat labu sayung yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu.
Sehubungan itu, saya berharap kerajaan sedia ada dikekalkan untuk mengalas mandat di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
RIDZUAN HAMLI
Pengusaha Labu Sayung di Perak
No comments:
Post a Comment