Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Tidak seperti kontroversi demi kontroversi di Selangor, program pemberian air percuma di Perak berjalan lancar berikutan kecekapan pentabdiran kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian 20 meter padu air menerusi Lembaga Air Perak (LAP) itu tidak dilakukan secara semberono semata-mata untuk memenangi sokongan rakyat.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang mendahulukan kesejahteraan rakyat, bantuan air percuma itu disasar kepada golongan memerlukan iaitu keluarga miskin dan ibu tunggal bagi menjamin keberkesanan dan mengelak ketirisan.
“Lebih 8,000 keluarga di negeri ini telah menerima manfaat program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan ini sejak ia dilancarkan lebih 4 tahun lalu.
“Selepas ini, kita akan perluaskan skim subsidi air ini kepada semua masjid, tokong, kuil dan rumah ibadat berdaftar di negeri ini seperti termaktub dalam Aku Janji BN Perak yang diumumkan baru-baru ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Zambry berkata, biarpun skim subsidi air itu cuma bersamaan RM10 sebulan namun ia memberi nilai yang cukup besar kepada golongan kurang berkemampuan.
Ujarnya, pada awal program berkenaan dilaksanakan, LAP telah menyalurkan air percuma itu kepada 900 keluarga miskin yang menetap di Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) sebelum ia diperluas kepada golongan ibu tunggal kira-kira setahun kemudian.
Zambry menjelaskan selain penduduk PPMS yang secara automatik layak menerima subsidi air tersebut, permohonan untuk skim bantuan berkenaan boleh dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) yang diberi kuasa oleh kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment