Translate

Monday, May 27, 2013

Bayi maut di rumah pengantin

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com

IPOH - Kegembiraan pasangan suami isteri meraikan perkahwinan seorang ahli keluarga mereka berakhir dengan kedukaan apabila bayi lelaki tunggal mereka maut selepas sebuah khemah dan meja di rumah keluarga pengantin itu dirempuh sebuah kereta penjenayah yang sedang melarikan diri daripada dikejar polis di Kampung Kopisan, Gopeng dekat sini malam kelmarin.

Bayi yang terbunuh dalam kejadian mengejut pada pukul 11 malam itu ialah T. Thamilarasan yang baru berusia 18 bulan.
Mangsa maut akibat mengalami kecederaan teruk di kepala. Ibu saudara bayi itu, S. Neela, 58, dan sepupunya, S. Tharminthiven, 2, pula masing-masing mengalami kecederaan di kaki dan tangan.
Semasa kejadian, terdapat kira-kira 10 orang ahli keluarga pasangan pengantin itu sedang berehat sambil berbual di bawah khemah yang menempatkan beberapa buah meja setelah penat melayan tetamu pada hari tersebut.
Mengimbas kejadian itu, bapa bayi malang itu, T. Thenarasu, 24, berkata, ketika itu dia dan isterinya, S. Salini, 18, sedang duduk bersama Neela yang memangku anaknya yang tidur manakala Tharminthiven bermain di sebuah meja paling hujung di dalam khemah yang dipasang di depan rumah saudaranya yang baru melangsungkan perkahwinan.
"Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona yang dipandu laju terbabas merempuh meja tempat kami duduk.
"Rempuhan itu menyebabkan kami semua tercampak termasuk Neela yang memangku anak saya dan Tharminthiven," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Thenarasu bekerja sebagai pembantu pemandu lori dan dia tinggal di Kampung Kopisan tidak jauh dari rumah keluarga pasangan berkahwin itu.

Kata Thenarasu, kereta Proton Persona yang dipercayai dinaiki empat lelaki itu tidak berhenti, malah pemandunya bertindak mengundurkan kereta sebelum terus memecut meninggalkan tempat kejadian.

Bagaimanapun, sejurus kemudian muncul sebuah kereta peronda polis yang mengejar kereta Proton Persona itu yang dipercayai dinaiki penjenayah. Anggota polis membantu menghantar anak dan dua saudaranya yang cedera ke Hospital Kampar.

"Namun disebabkan kecederaan anak saya teruk, bayi saya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini.

"Pada pukul 6 pagi ini (semalam) ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut, anak saya meninggal dunia," katanya yang amat sedih kerana selepas berkahwin selama dua tahun baru dia mendapat cahayamata.

Neela yang patah kaki kiri dan Tharminthiven yang cedera tangan kanan masih dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon mengesahkan kenderaan yang merempuh ketiga-tiga mangsa sedang dikejar sebuah kereta peronda polis.

Sebelum itu, menurut beliau, kenderaan itu telah lolos daripada ditahan dalam satu sekatan jalan yang dilakukan secara bersepadu di Jalan Gopeng-Kuala Lumpur iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Sehingga lewat petang, polis masih menjejak suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.


No comments:

Post a Comment