Translate

Friday, May 24, 2013

Geng Botak samun kedai serbaneka tumpas


IPOH - Empat penyamun yang diketuai lelaki berkepala botak dan dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes samun kedai serbaneka di negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur tumpas ekoran penahanan anggota kumpulan tersebut di Plaza Tol Kuala Kangsar dekat sini kelmarin.

Empat penjenayah yang bernaung di bawah nama Geng Botak itu ditangkap ketika kereta Proton Wira warna kelabu yang mereka naiki ditahan dalam sekatan jalan pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sewaktu kereta itu ditahan, kumpulan yang dianggotai empat lelaki berusia 16 hingga 38 tahun dalam perjalanan untuk menyamun sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Kuala Kangsar.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua pucuk pistol tiruan berwarna hitam, dua walkie talkie, satu gari, sebuah komputer riba, 16 buah telefon bimbit dan satu topeng warna hitam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah yang aktif sejak setahun lalu itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes samun di kedai serbaneka, butik dan kedai runcit di sekitar bandar raya ini, Manjung, Perak Tengah, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Geng Botak menyasar premis perniagaan yang beroperasi 24 jam dan biasanya melakukan kegiatan jenayah samun pada awal pagi.

"Selain menakut-nakutkan mangsa dengan pistol mainan, anggota kumpulan penjenayah itu juga berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan walkie talkie," kata beliau.

Kata Shukri, bagi mengelakkan diri dikesan, kumpulan penjenayah itu melakukan perbuatan jenayah tersebut dengan menggunakan kereta sewa.

Suspek yang berusia 16 tahun merupakan remaja yang tidak bersekolah manakala tiga suspek lain mempunyai rekod jenayah berkaitan kes samun dan rogol. Ketua kumpulan tersebut yang popular dengan panggilan Botak berusia 38 tahun mempunyai lapan rekod jenayah.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mei ini.

No comments:

Post a Comment