Translate

Saturday, May 4, 2013

Pembangunan pesat, rakyat Perak terbela


OIeh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kesempatan memerintah kerajaan negeri sepanjang tempoh empat tahun digunakan sebaiknya oleh Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan kembali Perak ke landasan yang tepat.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga lulusan ekonomi, Perak bukan sahaja mencatat pembangunan mampan malah kebajikan rakyat kini lebih terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Peladangan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, limpahan ekonomi boleh dirasai menerusi kemasukan beberapa pelaburan asing berimpak tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

“Antaranya pembukaan hab pengedaran produk bijih besi oleh firma Brazil, Vale yang bernilai RM8.5 bilion di Teluk Rubiah, Lumut,” katanya di sini semalam.

Saarani berkata, bandar-bandar utama seperti Ipoh, Manjung dan Taiping juga pesat membangun sejak BN mengambil alih kerajaan negeri pada 6 Mac 2009.

“Begitupun selaras dengan pegangan kami, 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir' kawasan luar bandar tidak pernah dibiarkan mundur.

“Sebanyak 14 pekan-pekan kecil di seluruh Perak seperti Tapah Road, Lawin, Manjoi, Trong dan Sauk telah dibangunkan semula sejak 2010 bagi memastikan agihan pembangunan yang seimbang dan serata,” katanya.

Bagi menunjukkan keseriusan kerajaan negeri memantapkan modal insan, Saarani menjelaskan sebanyak RM4.5 juta telah dibelanjakan untuk sektor tersebut menerusi Yayasan Perak.

Ujarnya, ia merangkumi pemberian biasiswa, dermasiswa, simpanan pendidikan dan program tuisyen percuma sejak 2009.

“Kita juga telah mengurniakan tanah seluas hampir 3,803 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai ladang sawit kepada pengurusan sekolah persendirian Cina (Suwa), sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama rakyat dan mubaligh.

“Hasilnya sebanyak RM2.2 juta telah berjaya dijana setiap tahun yang kemudiannya diagih-agihkan bagi mengisi dana pendidikan sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Saarani berkata, sebagai strategi mengeluarkan segelintir rakyat negeri ini daripada kemiskinan tegar, pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) telah diperkenalkan.

Beliau memberitahu, sebanyak RM10.3 juta pinjaman melibatkan 1,362 individu berkelayakan telah dikeluarkan bagi menggalakkan golongan tersebut menceburi perniagaan kecilan-kecilan.

Perak merupakan negeri kedua yang mempunyai populasi Orang Asli teramai. Sehubungan itu, komuniti itu tidak dipinggirkan dengan penyediaan perumahan, kemudahan asas, penyediaan bekalan air bersih, kesihatan dan pembangunan ekonomi melibatkan peruntukan RM200 juta.

No comments:

Post a Comment