Translate

Tuesday, May 21, 2013

Bomoh tolak sial tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kelicikan empat wanita China menipu rakyat negara ini dengan menyamar sebagai bomoh pembuang sial hingga melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit sejak tiga tahun lalu terbongkar apabila kesemuanya diberkas dalam satu operasi baru-baru ini.
Suspek berusia antara 45 hingga 51 tahun tersebut diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak di sebuah hotel di Kulim, Kedah pada pukul 3.30 pagi, 17 Mei lalu.
Modus operandi mereka ialah mengatakan mangsa yang telah ditilik nasibnya akan ditimpa nasib malang dalam tempoh terdekat selepas membuat tilikan berdasarkan raut wajah. Kebanyakan mangsa merupakan warga emas berketurunan Cina.
Apabila mangsa telah berjaya ditakutkan, sindiket akan menawarkan pula khidmat perubatan alternatif kononnya dapat membuang nasib sial tersebut.
Sebagai upah, sindiket akan meminta mangsa menyerahkan barang kemas dan wang.


Mangsa akan menyedari ditipu selepas diberitahu oleh ahli keluarga lain atau kenalan setelah mereka menceritakan mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan terlibat dalam sekurang-kurangnya 23 kes penipuan membabitkan kerugian lebih RM1.18 juta sejak 2010 termasuk mangsa terbaharu, seorang warga emas di Langkap, Teluk Intan pada 23 April lalu.

"Semasa serbuan, polis berjaya menjumpai 41 barangan kemas pelbagai jenis seperti cincin, anting-anting, loket, rantai dan gelang dipercayai milik mangsa.

"Wang termasuk mata wang Yuan dan Dollar Singapura berjumlah RM9,462 turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment