Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mengkritik kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) kononnya tidak bijak ekonomi negara.
Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya mencermin diri sendiri yang tidak berupaya mengendali krisis mata wang antarabangsa ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1997.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya beri kuasa kepada dia (Anwar) untuk urus masalah (krisis mata wang). Tapi apa dia buat? Dia ikut IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia dengan naikkan kadar faedah, pendekkan tempoh pembayaran hutang dan potong bajet kerajaan sampai negara hampir muflis.
"Sebab itu saya tarik balik dan ambil semula pengurusan ekonomi negara," katanya pada program Wacana Bersama Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dihadiri lebih 10,000 orang di Dataran Simpang di sini malam tadi.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Ismail Saffian; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Datuk Rosli Husin; calon BN DUN Trong, Dr. Zabry Abdul Wahid dan calon BN DUN Kuala Sepetang, Loh Swee Eng.
Dr. Mahathir berkata, pengenalan sistem kawalan mata wang bukan sahaja berjaya menyelesaikan krisis ekonomi negara malah menyelamatkan ramai peniaga daripada mufis.
"Peniaga terutama golongan Cina tentu masih ingat diselamatkan daripada ambang bankrap oleh dasar BN tersebut. Parti kongsi yang komited memakmurkan negara secara sama rata kepada semua kaum, Melayu, Cina dan India.
"Dakwaan DAP hanya Melayu mendapat nikmat daripada dasar BN adalah tidak tepat," katanya.
No comments:
Post a Comment