Translate

Wednesday, May 29, 2013

Suspek rempuh khemah kenduri kahwin diburu

KAMPAR – Polis sedang memburu seorang penjenayah tegar yang dipercayai merempuh sebuah khemah kenduri perkahwinan sehingga menyebabkan seorang bayi berusia 18 bulan maut dan dua saudaranya cedera.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, individu tersebut dikenal pasti sebagai C.S. Senguttuwan, 28, yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dia dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Antara kesalahan jenayah yang dilakukan suspek ialah cubaan membunuh, mencuri motosikal, memecah rumah dan khianat dengan api selain pernah dikenakan perintah sekatan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2011.
“Dia yang berasal dari Taman Gopeng, Gopeng dekat sini juga diburu polis di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang dihadirinya pada 7 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini semalam.
Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian Sengut- tuwan memandu kereta Proton Persona terbabit bersama seorang lagi suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Menurut beliau, gerakan memburu suspek telah diperhebat dan setakat ini kenderaan terlibat juga masih belum ditemui.

“Orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Sengguttuwan diharap membantu pihak polis untuk menjejak suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian dan mungkin turut di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kong Soon mengesahkan enam ahli keluarga mangsa telah ditahan kelmarin kerana bertindak nekad menyerang rumah dan merosakkan harta-benda milik keluarga suspek pada malam Ahad lalu.

Beliau memberitahu, enam lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan reman sehingga lusa untuk membantu siasatan.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang bayi, T. Thamilarasan yang sedang dipangku oleh ibu saudaranya, S. Neela, 58, maut apabila khemah majlis perkahwinan tempat mangsa duduk dirempuh oleh sebuah kereta penjenayah yang sedang dikejar polis.


No comments:

Post a Comment