IPOH - Orang ramai khususnya yang berada di sekitar Taiping dan utara
Perak dijemput memeriahkan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Bersama Rakyat yang diadakan di Taman Tasik Taiping esok.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri
berkata, program tersebut berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5
petang di kawasan tempat letak kereta E taman rekreasi berkenaan.
"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap peranan agensi SSM.
"Orang ramai akan diberi pendedahan dan panduan lebih jelas tentang
kepentingan dan keperluan memperbadankan syarikat masing-masing,"
katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohamad Shahren berkata, usahawan dan individu yang berminat
menceburi dunia perniagaan juga disaran tidak melepaskan peluang untuk
menyertai sesi taklimat mengenai skim perniagaan secara francais dan
sumber pembiayaan yang diadakan secara percuma di program itu.
Menurutnya, SSM juga akan memberi penjelasan mengenai skim-skim
pelaburan yang sah di sisi undang-undang sebagai panduan kepada orang
ramai.
"Selain itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai acara
selingan seperti sukaneka, persembahan muzik dan kuiz di samping
berpeluang membawa pulang hadiah menarik menerusi acara cabutan
bertuah," katanya.
Katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dijangka merasmikan program terbabit.
No comments:
Post a Comment