Translate

Monday, January 7, 2013

Tsunami politik sudah berakhir


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tanpa perlu bimbang bayang-bayang impak tsunami politik yang pernah melanda tanah air pada 2008.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk  Ahmad   Maslan  berkata, tsunami politik yang pernah menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di beberapa negeri sudah reda.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan pelbagai transformasi ekonomi, politik dan pendidikan sejak menerajui negara telah mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

"Sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan ini, tsunami politik telah berhenti.

"Antara puncanya adalah idea-idea kreatif beliau memperkenalkan hampir 20 produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), kedai kain, kedai ikan, biasiswa, kedai rakyat, klinik dan baucar buku," katanya selepas melakukan tinjauan mesra ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tapah Road di Kampung Tersusun Batu 4, Tapah Road di sini semalam.

 Ahmad  berkata, ramai yang memberi respons positif dengan inisiatif kerajaan yang disifatkan amat prihatin dan mendahulukan rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, UMNO telah mengarahkan semua PDM dan bilik gerakan parti itu di seluruh negara diaktifkan serta-merta.

Katanya, walaupun yakin tsunami politik sudah berakhir, strategi memenangi PRU ke-13 perlu diteruskan dan untuk itu, pucuk pimpinan parti menyarankan semua PDM dan bilik gerakan diaktifkan semaksimum mungkin.

"Ibarat satu pertandingan lumba lari, kita tidak mahu tergelincir, kaki terseliuh di hujung garisan penamat," katanya.

No comments:

Post a Comment