Translate

Saturday, January 5, 2013

Sindiket 'Fly By Night' tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Satu sindiket yang dipercayai memperdaya sekurang-kurang 10 syarikat pemborong barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat di negeri ini sejak dua bulan lalu berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.

Sindiket yang dikenali sebagai geng 'Fly By Night' itu menggunakan modus operandi membayar transaksi pembelian menggunakan cek tertunggak palsu menyebabkan semua syarikat pemborong terbabit mengalami kerugian dianggarkan hampir RM155,000.

 Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berdasarkan aduan mangsa dari sekitar Manjung, Taiping dan Sungai Siput itu, polis berjaya memberkas lima anggota sindiket tersebut iaitu empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga negara Thailand secara berperingkat-peringkat mulai 20 Januari lalu.

"Mereka yang berusia dalam lingkungan 43 tahun hingga 54 tahun itu ditahan di sekitar Taiping dekat sini dan Simpang Empat, Pulau Pinang.

"Turut ditahan ialah perancang utama iaitu ketua kumpulan berkenaan yang dikehendaki polis melibatkan kes penipuan menggunakan modus operandi sama di Pulau Pinang dan Pahang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya menemui semula sebahagian barangan yang dilarikan kumpulan terbabit seperti 39,320 kilogram baja pertanian, 30 karton serbuk pencuci, lima karton serbuk kopi, 64 bungkus kerisik kelapa dan 24 unit set mangkuk tandas.

Katanya, polis turut merampas beberapa dokumen jual beli seperti invois, slip penyerahan pesanan dan borang pesanan pembelian milik syarikat palsu yang ditubuhkan geng Fly By Night bagi melakukan penipuan tersebut.

"Modus operandi kumpulan berkenaan ialah mendaftarkan syarikat menggunakan nama proksi, biasanya merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identiti mereka.

"Sindiket itu kemudiannya akan aktif membeli pelbagai barangan runcit secara borong dengan menggunakan cek tertangguh daripada akaun bank yang telah ditutup," katanya.

Mohd. Shukri berkata, syarikat yang didaftarkan sindiket tersebut biasanya beroperasi selama dua bulan sahaja. Mereka akan melarikan diri dan mengosongkan pejabat sebaik wakil syarikat pemborong menyedari ditipu.

Katanya, kesemua lima suspek terbabit kini ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment