Translate

Wednesday, January 2, 2013

Banjir setiap kali hujan lebat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sebuah keluarga terpaksa merana lebih 20 tahun apabila rumah yang didiami ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dekat sini.
Abdul Rahman Manap, 62, berkata, kediaman yang turut dihuni lapan ahli keluarganya termasuk isteri, Zabedah Tan Diah, 58, lima anak dan seorang cucu itu akan dinaiki air banjir sehingga satu meter setiap kali hujan lebat.
“Sejak 20 tahun lalu, hati kami sekeluarga tidak pernah tenang setiap kali hujan turun walaupun pada awal pagi kerana saya tahu rumah saya mesti menerima musibahnya.
“Jumlah kerugian harta benda tak terkira malah rumah dan laman rumah saya akan dipenuhi selut serta lumpur yang datang dari Bukit Kinding berhampiran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, selain limpahan air dan lumpur dari bukit berhampiran, sistem perparitan yang tidak diselenggara juga menjadi faktor kepada masalah banjir itu.

Menurutnya, rumah dia yang terletak di tanah pusaka keluarga seluas 0.14 hektar sebenarnya terletak berhampiran Sungai Kinding lama yang sudah ditimbus pada awal 90-an.

"Setelah ditimbus, laluan Sungai Kinding telah bertukar arah namun setiap kali hujan lebat, sebahagian limpahan air dan lumpur dari Bukit Kinding tetap mengalir ke laluan lama sungai.

"Walaupun laluan lama Sungai Kinding sudah dinaik taraf menjadi sebuah parit tetapi kerana saiznya kecil dan jarang diselenggara, ia tidak mampu menampung kapasiti air banjir dan lumpur lalu mengalir ke rumah saya yang terletak di kawasan lebih rendah," katanya.

Abdul Rahman memberitahu, dia sekeluarga telah mengambil inisiatif membina sebuah  kolam  tadahan kecil dan menambak laman rumahnya dengan pasir bagi mengurangkan risiko banjir tetapi tidak berapa berkesan.

No comments:

Post a Comment