Translate

Monday, January 7, 2013

Bas dua tingkat bawa pelancong hangus terbakar

KUALA KANGSAR - Seramai 20 penumpang nyaris maut apabila bas dua tingkat yang dalam perjalanan membawa mereka melancong ke Thailand terbakar secara tiba-tiba ketika tiba di Kilometer 231.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Berapit dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, 70 peratus daripada bas milik Konsortium Bas Ekspres Semenanjung Sdn. Bhd. itu hangus.

Pegawai Kanan II Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd. Karim berkata, semasa kejadian, bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan menuju ke Hatyai dari Johor Bahru.

"Mujur tindakan pantas pemandu bas mengarahkan semua penumpang turun selepas menyedari kepulan asap yang keluar dari belakang bas menyelamatkan kesemua penumpangnya.

"Sejurus selepas semua penumpang turun, bas tersebut hangus sehingga ke tingkat atas," kata beliau kepada Kosmo! di sini.

Menurut beliau, pemandu bas terbabit bertindak memberhentikan kenderaan yang dipandunya di bahu jalan sebaik menyedari sesuatu tidak kena dengan kenderaannya.

Seramai 13 anggota dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Taiping berjaya memadamkan kebakaran bas tersebut dalam tempoh 15 minit.

"Bas tersebut hangus 70 peratus dengan tingkat atas rosak teruk," kata beliau dengan memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment