KUALA KANGSAR - Niat baik seorang pekerja kilang membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi apabila dia dan ejen trak penunda maut dirempuh sebuah van di Kilometer 258.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini semalam.
Kejadian pukul 10.54 pagi itu mengakibatkan S. Lee Pride, 31, dari Taman Sri Tengah, Kluang, Johor dan ejen trak penunda, S. Praveen, 29, maut di tempat kejadian.
Lee Pride yang memandu kereta Proton Wira dikatakan telah berhenti sebaik ternampak kemalangan iaitu sebuah treler membawa muatan besi, lori dan dua kereta melanggar belakang antara satu sama lain.
Kelindan treler berkenaan, S. Teebhan, 20, berkata, antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anaknya. Mereka menaiki kereta jenis Proton Persona.
Katanya, Lee Pride yang melalui jalan itu kemudian telah berhenti untuk membantu keluarga terbabit.
"Tidak lama kemudian, datang sebuah van merempuh belakang Proton Persona mengakibatkan mangsa dan seorang ejen trak penunda yang sedang berdiri di depan kereta itu melambing," ceritanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad berkata, sebelum kejadian, Lee Pride dan dua ahli keluarganya dalam perjalanan ke kampung isterinya di Sungai Petani, Kedah untuk menyambut Thaipusam esok.
Katanya, mangsa lain tidak cedera dalam kemalangan itu.
No comments:
Post a Comment