Translate

Sunday, August 29, 2021

Pembukaan pulau peranginan Terengganu ditangguh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Pembukaan rangkaian pulau peranginan di Terengganu yang dijadual pada awal bulan depan berkemungkinan terpaksa ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penangguhan itu berikutan peningkatan kes harian Covid-19 di negeri sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 70 kes positif Covid-19 telah dikesan di Pulau Perhentian, Besut sejak Ahad lalu.

“Pulau Perhentian telah dikenakan sekatan pergerakan dan sudah pasti pembukaan semula pulau itu perlu ditangguhkan sehingga kes reda.

“Bagi pulau-pulau peranginan lain, satu mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diadakan pada waktu terdekat bagi memutuskan ketetapan baharu,” katanya di sini hari ini.

Selain Pulau Perhentian, pulau peranginan lain yang terdapat di Terengganu ialah Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

Kosmo! hari ini melaporkan Pulau Perhentian, Besut dikenakan sekatan pergerakan melibatkan semua 2,173 penduduknya berikutan penularan Covid-19 yang dikesan di pulau peranginan tersebut sejak Ahad lalu. – K! ONLINE

Tukang gunting maut kemalangan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Seorang tukang gunting yang sedang menanti kelahiran anak sulung maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kota Bahru berhampiran Kampung Kubang Jela di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa, Khairino Fahmie Khairul Anuar Bashah, 25, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Sewaktu kejadian, Khairino Fahmie dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Teluk Menara di sini selepas selesai bekerja di kedai gunting rambut di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Spacy yang ditunggangi mangsa dari arah Batu Enam, Kuala Nerus dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal dinaiki seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Difahamkan remaja itu yang menetap di Kampung Kubang Jela di sini mahu melintas jalan untuk membuang sampah di kawasan tong sampah awam yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Impak kemalangan itu menyebabkan Khairino Fahmie tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal Benelli RFS dinaiki seorang lelaki berusia 20-an.

Khairino Fahmie meninggal di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa pula cuma cedera ringan.

Mayat Khairino Fahmie telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian. – K! ONLINE

Masalah liputan telekomunikasi Kampung Payong selesai

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Isu liputan telekomunikasi terlalu lemah di Kampung Payong, Langkap di sini yang menyukarkan 150 pelajar sekolah dan universiti di perkampungan tersebut akhirnya selesai.

Mereka kini boleh menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan selesa selepas liputan telekomunikasi berkenaan dinaik taraf oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perkampungan yang terletak di pedalaman Setiu itu kini telah dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar 4G.

“Sebuah menara komunikasi telah dipasang SKMM di Kampung Payong pada bulan Julai lalu.

“Buat masa ini, liputan jalur lebar 4G itu terhad pada pengguna Celcom sebelum ia akan diperluas ke penguna syarikat-syarikat penyelia telekomunikasi lain menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika meninjau menara telekomunikasi di Kampung Payong, Langkap di sini hari ini.

Kosmo! 4 Februari lalu melaporkan pelajar sekolah dan universiti di Kampung Payong terpaksa belajar di sebuah bangsal usang di dalam kebun kelapa sawit.

Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama SKMM menyasar liputan 4G di Terengganu mencecah 96.9 peratus menjelang hujung tahun ini. – K! ONLINE