Translate

Wednesday, July 31, 2013

Anak yatim di Tapah beli-belah baju raya

SYUKUR. Seramai 50 anak yatim dari sekitar Tapah menerima sumbangan pakaian raya daripada Pusat Khidmat dan Aduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di pasar raya Mydin RTC, Gopeng, Perak baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, anak-anak yatim berkenaan diberi kebebasan untuk memilih pakaian raya mereka sendiri di pasar raya tersebut dengan peruntukan RM200 setiap seorang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Perak berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu juga masing-masing menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50.
"Sebelum ini kita hanya memberi sumbangan duit raya kepada anak yatim berkenaan tetapi mulai tahun ini kita buat sedikit perubahan dengan meminta mereka memilih sendiri pakaian yang bakal digayakan pada pagi raya," katanya.

Sunday, July 28, 2013

Wanita Indonesia dituduh curang kena bunuh

BATU GAJAH - Seorang pembantu kedai wanita warga Indonesia ditemui mati dibunuh dipercayai oleh suaminya sendiri dalam kejadian di rumah kedai di Jalan Pasar di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.21 malam itu, Than Dar, 25, mati selepas mangsa dipercayai ditikam dengan pisau pemotong kayu oleh suaminya yang merupakan seorang warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, anggota polis bergegas ke tempat kejadian yang terletak di tingkat satu premis rumah kedai tersebut dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang berlumuran darah manakala mulutnya pula berbuih.

“Pemeriksaan menjumpai sebilah pisau pemotong kayu di belakang badan wanita itu. Terdapat juga kesan tikaman di belakang badan mangsa,” katanya beliau di sini semalam.

Menurut beliau, suami mangsa didakwa membawa anak lelakinya yang berusia setahun setengah meninggalkan rumah itu selepas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, polis kemudian menahan suami mangsa dan tiga lagi lelaki yang tinggal di rumah kedai itu semalam di beberapa lokasi,

"Mangsa dipercayai dibunuh selepas dia dituduh berlaku curang oleh suaminya," kata beliau dengan memberitahu pasangan itu sudah berkahwin kira-kira dua tahun.

Saturday, July 27, 2013

Raja Nazrin rasmi Masjid Kubu Gajah

MENGIMARAH  MASJID . Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan  Masjid   Kampung   Kubu   Gajah , Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak baru-baru ini.

Pengerusi  Masjid   Kampung   Kubu   Gajah , Samsudin Man berkata,  masjid  yang dibina dengan kos RM1.5 juta itu mampu memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata, selepas berbuka puasa, Raja Nazrin menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah di  masjid  tersebut.

"Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak berjumlah RM336,000 kepada asnaf fakir dan miskin sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar," katanya.