Translate

Thursday, January 31, 2013

Bermesra dengan ular jinak di Lost World of Tambun


IPOH - Bersempena sambutan Tahun Baru Cina, Lost World of Tambun ( LWOT ) akan menampilkan koleksi lebih daripada 50 jenis  ular  untuk dipamerkan selama tiga hari di taman tema air itu bermula 10 Februari ini.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, sepanjang tempoh berkenaan, para pengunjung boleh bermain dan bermesra dengan koleksi  ular  jinak itu.

"Penerangan tentang  ular  juga akan diberikan bagi mendidik orang ramai khususnya golongan muda untuk memahami dan menghargai pola kehidupan haiwan reptilia tersebut," katanya pada sidang akhbar sempena pameran  ular  di sini semalam.

Ho menjelaskan, antara  ular  yang akan dipamerkan ialah  ular  tedung selar sepanjang hampir empat meter, anakonda kuning,  ular  sawa albino dan  ular  sawa Burma.

Katanya, selain di zoo mini, sebahagian daripada  ular - ular  berkenaan akan ditempatkan di Gua Kempura di taman tema itu bagi membolehkan pengunjung dapat merasai suasana berada di kawasan habitat sebenar reptilia berkenaan.

"Lebih menarik lagi, para pengunjung juga boleh menikmati kek cawan  ular  yang boleh didapati secara eksklusif di Restoran Waves yang terdapat di  LWOT . Selain itu, pelbagai cenderahati yang bercirikan tahun  ular  seperti baju juga dijual," katanya.

Tuesday, January 29, 2013

26 keluarga di Slim River dapat rumah

 BANTUAN. Seramai 26 keluarga menerima surat tawaran Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Taman Tasik YDP, Slim River baru-baru ini.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Kamarul Rashdan Salleh berkata, pemberian surat tawaran skim perumahan itu melibatkan penduduk Kampung Balun dan Kampung Pekan Trolak yang berkelayakan iaitu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, mereka bakal memiliki rumah yang berkeluasan 80.45 meter persegi dan mempunyai tiga bilik air pada harga RM45,000 sahaja.

Saturday, January 26, 2013

Dua lelaki mati selepas dirempuh van di Kuala Kangsar


KUALA KANGSAR - Niat baik seorang pekerja kilang  membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi  apabila dia dan ejen trak penunda maut dirempuh sebuah van di Kilometer 258.7 Lebuh Raya Utara-Selatan  arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini semalam.

Kejadian pukul 10.54 pagi itu mengakibatkan S. Lee Pride, 31, dari Taman Sri Tengah,  Kluang, Johor dan ejen trak penunda, S. Praveen, 29, maut di  tempat kejadian.

Lee Pride yang memandu kereta Proton Wira dikatakan telah berhenti sebaik ternampak kemalangan iaitu sebuah treler membawa muatan besi, lori dan dua kereta melanggar belakang antara satu sama lain.

Kelindan treler berkenaan, S. Teebhan, 20, berkata, antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anaknya. Mereka menaiki kereta jenis Proton Persona.

Katanya, Lee Pride yang melalui jalan itu kemudian telah berhenti untuk membantu keluarga terbabit.

"Tidak lama kemudian, datang sebuah van merempuh belakang Proton Persona mengakibatkan mangsa dan seorang ejen trak penunda yang sedang berdiri di depan kereta itu melambing," ceritanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad berkata, sebelum kejadian, Lee Pride dan dua ahli keluarganya dalam perjalanan ke kampung isterinya di Sungai Petani, Kedah untuk menyambut Thaipusam esok.

Katanya, mangsa lain tidak cedera dalam kemalangan itu.